Tuesday, January 18, 2022

PERSEPSI GRADUAN POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI KELAS KEDUA ADALAH PANDANGAN LAPUK

 

Persepsi graduan politeknik dan kolej komuniti kelas kedua adalah pandangan lapuk, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran. Beliau berkata, stigma itu wujud sejak sekian lama mungkin kerana 20 ke 30 tahun lalu majikan lebih gemar mengambil graduan yang cemerlang dalam akademik untuk bekerja, namun kini perkara itu sudah tidak relevan.

Pada zaman globalisasi, keperluan majikan sudah pun berubah dan tidak melihat kelayakan akademk semata-mata untuk dijadikan syarat pengambilan pekerja. Selain kelayakan akademik, apa yang diharapkan majikan pada hari ini ialah kemampuan seseorang itu melaksanakan tugas ataupun tanggungjawab yang diberikan dengan baik," katanya dalam satu kenyataan disini, hari ini.

Sambil menegaskan kualiti graduan dihasilkan kedua-dua institusi itu amat baik, Mohammad Shatar berkata, pihaknya sentiasa mengawal selia kualiti program semua institusi pengajian tinggi (IPT) secara berkala. Beliau berkata, masyarakat tidak perlu bimbang mengenai isu kebolehpasaran sekiranya anak mereka mengikuti pengajian di dua IPT berkenaan kerana tahapnya melebihi 90 peratus saban tahun.

Dalam konteks hari ini, katanya, kualiti pembelajaran yang diberikan kepada graduan adalah sama tidak kira sama ada di universiti, politeknik atau kolej komuniti. Mereka menawarkan program berdasarkan keperluan industri serta niche masing-masing dalam konteks pasaran kerja dan kerjaya yang amat luas.

Kualiti pendidikan  di IPT tempatan sentiasa berada pada tahap yang maksimum kerana MQA tidak akan sekali-kali berkompromi dalam aspek kualiti terhadap semua IPT termasuklah politeknik dan kolej komuniti," katanya.

Mohammad Shatar berkata, majikan kini bukan sekadar melihat kelayakan akademik, namun kesinambungannya dengan kemahiran teknikal graduan. Bagi pihak industri katanya, kecemerlangan tidak tertumpu kepada akademik sahaja tetapi apa yang lebih penting ialah sejauh mana kemampuan graduan mempamerkan kemahiran insaniah mereka seperti berkomunikasi, kepimpinan menyelesaikan masalah dan bekerja dalam kumpulan selain aspek disiplin dan etika.

Peluang kerjaya bagi graduan berkemahiran di negara ini juga tinggi kerana kadar guna tenaga yang memiliki kemahiran ini masih pada tahap rendah berbanding penggunaan tenaga kerja di negara maju yang memerlukan lebih 60 peratus pekerja berkemahiran. Mereka juga berpeluang untuk menjadi usahawan atau membina kerjaya diluar negara kerana status akreditasi akan memudahcara perkara tersebut." katanya.


No comments:

Post a Comment

KERJAYA CEMERLANG DI POLITEKNIK